Cantiknya seorang wanita itu sebagai gadis bukan kerana gincu bibir yang merah menyala atau kilauan pemerah pipinya tetapi sifat lemah lembutnya dan sikap sopan santunnya.
Cantiknya seorang wanita sebagai remaja bukan kerana kulitnya yang gebu terdedah atau pandangan nafsu mata yang menggoda tetapi kepada keperibadian yang terjaga dan maruah diri yang terpelihara.
Cantiknya seorang wanita sebagai hawa bukan kerana bijaknya menggugat keimanan kaum adam atau melahirkan zuriat tanpa ikatan tetapi kepada kecekalan hati dan ketabahan diri berdepan dugaan.
Cantiknya seorang wanita itu sebagai anak bukan untuk menconteng arang di muka atau mengalirkan air mata ibu bapa tetapi untuk menceriakan serta mendoakan kesejahteraan mereka.
Cantiknya seorang wanita itu sebagai seorang isteri bukan untuk mencurangi atau menjatuhkan maruah suami tetapi untuk sentiasa setia di sisi dan kekal mencintai sehingga nafas terakhir.
Cantiknya seorang wanita itu sebagai menantu bukan untuk mengejar harta kekayaan atau menyakiti hati mertua tetapi untuk menjauhi persengketaan ipar duai dan menjadi menantu idaman.
Cantiknya seorang wanita itu sebagai ibu bukan terletak pada keegoan melahirkan zuriat yang ramai tetapi pada didikan dan kejayaan membimbing seorang insan bergelar anak.
Sungguh cantik perjalanan hidup seorang wanita andainya ia diisi dengan keredhaan dan kesyukuran. 


0 ulasan:
Catat Ulasan